Tragedi di pagi Jumaat

on Sunday, November 21, 2010
"Dum!", tiba-tiba kereta yang aku pandu dilanggar ketika ingin membelok ke simpang sebelah kanan jalan utama. Aku membrek dan dapat melihat sebuah kereta melanggar longkang besar. "Masya Allah apa dah jadi ni? Kenapa aku dilanggar?", persoalan itu berlegar di benakku seketika. Dengan tenang aku memandu menyeberangi jalan dan menghentikan kereta di jalan sebelah.



Aku keluar daripada kereta untuk melihat keadaan kereta yang melanggar keretaku tadi. Tetapi baru beberapa tapak aku berjalan, badanku lemah dan menggigil. Subhanallah walhamdulillah wallahuakbar....Allah masih sayangkan kami, tiada seorang pun yang cedera dalam kemalangan ini, walaupun kereta yang melanggarku tadi rosak teruk.

Walaupun dilihat daripada kejadian dan menurut saksi yang melihat aku tidak bersalah disisi undang-undang dunia, tetapi aku melihat ini sebagai satu PERINGATAN daripada Allah kepada kami yang terlibat. Aku adalah insan yang lalai dan kadang-kadang melalaikan orang sekeliling iaitu suamiku dan anak-anakku juga keluarga kami di kampung. Oleh itu ingatlah firman Allah dalam surah as-Syuara':30 (yang bermaksud);

"Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan(atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan(dari perbuatan salah dan dosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dari dosa-dosa kamu."

Maka semua musibah yang menimpa kita itu akibat dosa-dosa kita, jika Allah akan membalas di dunia, maka siapa yang telah dihukum di dunia maka tidak akan di ulang di akhirat, demikian pula jika Allah telah memaafkan seseorang maka tidak akan dituntut seksa hari kiamat. Tetapi sejauh mana kita sebagai manusia yang sering alpa ini mengambil iktibar di atas peringatan Allah itu....
Sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a. bermaksud kira-kira;
"Tidak menimpa kepada seseorang mu'min suatu musibah samaada duri atau yang lebih dari itu melainkan Allah menggugurkan dengan itu satu dosa"
Sebagai mu'min kita disuruh menyebut 'Innalillahi wa inna ilaihi rajiun apabila menerima sesuatu ujian dan musibah, seperti mana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 155-157. Semoga kita tergolong daripada kalangan mereka yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan serta mendapat rahmatNya, dan akhirnya mendapat petunjuk hidayahNya.

0 comments:

Post a Comment